Lampu mesra alam

Posted by Mesra Alam | Posted in



ASPEK pencahayaan adalah satu elemen penting bagi menghiasi laman kediaman terutama pada waktu malam dan gelap ketika hujan. Bagi menambahkan pencahayaan laman, ada pelbagai kaedah digunakan termasuk memasang lampu, pelita, jamung atau panjut dan unggun api.

Terbaru, sesuai dengan kempen alam sekitar, penggunaan lampu solar semakin banyak digunakan menghias laman sama ada menjadi lampu kolam, dinding tembok, lampu sorot, lampu gantung dan lampu keselamatan.Lampu solar menjimatkan tenaga kerana tidak menggunakan elektrik atau bahan api seperti gas atau petrol. Menariknya, seberapa banyak lampu solar yang diletakkan di laman, kosnya hanya ketika membeli lampu berkenaan manakala kos selepas digunakan sifar. Kebanyakan lampu solar mudah dipasang dan diletakkan di kawasan laman mengikut kreativiti masing-masing. Tanpa memerlukan sebarang sistem pendawaian serta sifar kemalangan dan litar pintas. Penggunaan lampu solar bukan hanya menjimatkan tenaga tetapi menjimatkan duit kerana tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan membaik pulih atau kos penyelenggaraan yang rendah jika anda mahu memindah atau menukarkan gaya pencahayaan untuk laman. Oleh kerana lampu solar bergantung kepada cahaya suria dan sesetengahnya bantuan bateri, maka tidak perlu mencaj tenaga selalu malah pemilik kediaman tidak perlu membuka suis lampu. Bagaimanapun, sesetengah lampu solar yang baru dibeli perlu digoncang atau memerlukan tenaga daripada bateri sebelum berfungsi. Dinasihatkan membaca label dan peraturan pemasangan lampu sebelum menggunakannya.

Ada beberapa jenis lampu solar yang banyak digunakan untuk menghias laman, termasuk lampu di siar kaki sama ada yang ditanam dalam tanah menjadi hiasan pemijak kaki atau diletakkan di kiri kanan laluan pejalan kaki.

Satu lagi yang biasa adalah lampu untuk pelantar, dinding tembok dan pagar. Biasanya lampu solar jenis ini dipasang melekat di dinding, pelantar atau pagar. Namun, ia sesuai untuk kawasan yang terdedah kepada cahaya matahari. Bagi kawasan tertutup lebih elok gunakan lampu elektrik. Lampu solar lain termasuk lampu gantung digantung di celah dahan pokok, pancang kayu atau digantung di tengah laman. Biasanya lampu ini banyak mendapat tenaga suria kerana terdedah.

Lampu solar kalis air pula digunakan menghiasi kolam sama ada di le
takkan dalam kolam, luar kolam berhampiran pancuran air atau terampung di dalam kolam. Selain itu, lampu solar juga digunakan sebagai lampu keselamatan dan biasanya diletakkan di kawasan yang tersorok dicelah pasu bunga, kolam dan pokok. Selain mencerahkan kawasan yang terlindung, lampu keselamatan membolehkan penghuni menghindari daripada serangga dan haiwan berbisa. Lampu solar keselamatan juga boleh menjadi lampu pengesan yang hanya akan menyala apabila ada benda asing atau makhluk tidak diingini melintas di laman. Terkini, ada lampu solar yang dibina seakan pasu bunga yang diletakkan di meja taman. Lampu jenis ini kini banyak digunakan sebagai hiasan untuk majlis di taman pada waktu malam seperti resepsi perkahwinan dan parti hari jadi.















INFO: Pencahayaan lampu # Lampu limpah atau ‘spotlight’. Jenis lampu dan pencahayaan yang terang untuk dijadikan sebagai sumber cahaya bagi memfokus sesuatu binaan atau titik tumpu seperti arca atau kolam yang mempunyai air pancut. Biasa digunakan bagi mendapatkan pencahayaan menyeluruh dalam taman. Namun, posisi jenis lampu perlu diteliti kerana kekuatan cahaya yang dipancarkan juga akan mewujudkan rasa ketidakselesaan bila berada di taman. # Lampu kesan bayangan atau ‘uplight’. Ada pelbagai jenis di pasaran dan sangat popular di kebanyakan taman. Jenis ini biasanya digunakan untuk mendapatkan kesan bayangan terutama jika dipancarkan kepada pokok dari bawah atau dipasang pada dahan pokok besar (pokok jenis teduhan). Dengan kepelbagaian warna, anda boleh mendapatkan kesan khas berbeza pada waktu malam untuk pencahayaan di taman dengan mudah. # Lampu latar atau backlight. Berbeza dari segi posisi apabila dipasang, fungsinya seakan sama dengan jenis `uplighting'. Namun, masih mempunyai kelebihannya sendiri. Biasanya jenis pencahayaan ini lebih menarik lagi bila digandingkan dengan dinding tumpu. Kedudukan lampu yang dipasang sedikit ke belakang terutama pada jenis pokok buluh atau palma kesan bayangan tumbuhan ini dapat dipantulkan. Ia juga bagi mendapatkan impak fokus tanaman pagaran yang di belakangnya mempunyai dinding. Namun, aplikasi jenis lampu dan pencahayaan di taman perlulah peka juga dengan persekitaran supaya kesan pancaran yang terlalu kuat dan silau tidak membuatkan jiran kita rasa kurang menyenangkan. Pemilihan kuasa lampu yang rendah akan mengurangkan kesan cahaya berlebihan yang akan membataskan kita nikmati ribuan bintang di langit tatkala kita bersantai pada hari langit yang cerah.




dihasilkan oleh kumpulan Phooi Jhing

Comments (0)

Catat Ulasan